HomeBeritaDisimbah asid, Faisal Halim melecur tahap 2

Disimbah asid, Faisal Halim melecur tahap 2

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi mengesahkan bahawa pemain Selangor FC dan kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid dalam insiden di sebuah pasar raya pada Ahad mengalami kelecuran tahap dua.

Beliau berkata, Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu yang kini dirawat di sebuah hospital dekat Petaling Jaya, Selangor mengalami lecur pada beberapa bahagian tubuh iaitu pada sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Mohd Najwan berkata, beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan bahawa pemain sayap kebangsaan itu berada dalam keadaan stabil.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik turut mengecam keras tindakan tersebut dan mahu pihak polis menjalani siasatan serta membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini serta dikurniakan kesembuhan segera,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Faisal cedera disimbah cecair dipercayai asid ketika pemain itu berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, di Petaling Jaya.

 

Author

Pilihan Editor