PERTUBUHAN Perkemas Malaysia (Perkemas Malaysia) bakal menerima suntikan dana pelaburan asing (FDI) sebanyak AS$1 billion (RM4.74 bilion), bagi mempertingkat kemajuan infrastruktur dan perkembangan ekonomi negara.
Melalui jumlah FDI sumbangan pemilik dana, Datuk Seri Mohd Rossahizam Mat Sakin, Perkemas Malaysia akan mengadakan kerjasama dengan Banqo LQID selaku penasihat kewangan.
“Banco LQID akan bertindak memberi nasihat komprehensif dalam pengurusan kewangan serta membantu mencapai matlamat organisasi, yang bakal membawa harapan baharu dan peluang untuk mempertingkatkan kemajuan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebanyak AS$50 juta (RM237 juta) juga akan diterima Perkemas Malaysia dalam masa terdekat sebagai suntikan awal daripada dana pelaburan tersebut,” kata Mohd Rossahizam.
Beliau berkata demikian menerusi sidang media yang diadakan di ibu negara pada Rabu.
Turut hadir adalah Presiden Perkemas Malaysia, Datin Munirah Abdul Manap; Hal Ehwal Korporat Perkemas Malaysia, Datuk Tan Sze Thuan; dan Presiden Banco LQID, Datuk Seri Farmiezudin Nazarudin.
Dalam pada itu, Munirah berkata, Perkemas Malaysia bersedia untuk memulakan transformasi bagi memacu kemajuan dalam pelbagai sektor serta membuka peluang baharu, bagi memastikan negara ke arah global dari segi ekonomi domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, antara projek utama yang bakal dilaksanakan menerusi dana tersebut adalah cadangan pembangunan penerbangan dan aeroangkasa.
“Fokus utama projek itu adalah untuk menjadikannya sebagai salah sebuah pusat penyelenggaraan, pembaikan dan penyelenggaraan.
“Melalui langkah ini, Perkemas Malaysia berharap supaya ia dapat membuka peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan, dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara serta memberi peluang kepada industri-industri tempatan berkembang dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa,” katanya.
Bukan itu sahaja, Munirah berkata, Perkemas Malaysia juga akan mengadakan kerjasama dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk melaksanakan projek keselamatan melalui inisiatif yang akan mempertingkatkan sektor pertanian negara.
Malah, katanya, dana tersebut akan digunakan untuk menggerakkan persediaan awalan, dokumentasi dan perincian berkaitan projek penambahbaikan lebuh rava ekspres, dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Gua Musang, Kelantan.
Tambahnya, Perkemas Malaysia juga akan memimpin beberapa projek pembangunan campuran di Perlis dan beberapa buah negeri lain bagi membentuk landskap bandar baharu.
“Tidak sekadar itu, langkah proaktif dalam pembangunan dan perdagangan termasuk projek loji rawatan air, pembangunan pusat pelancongan dan sejarah di tanah Railway Asset Corporation di Changkat Jering dan usaha penternakan lembu tenusu di Pondok Tanjung, Perak.
“Selain itu, dana tersebut juga akan digunakan untuk membuat pembayaran akhir bagi aset hartanah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
“Malah, Perkemas Malaysia juga akan menubuhkan Akademi Bola Sepak di bawah seliaan Kelab Bola Sepak Perkemas.
“Oleh itu, Kelab Bola Sepak Perkemas sedang dalam perancangan di peringkat awal untuk bekerjasama dengan salah sebuah kelab bola sepak antarabangsa dan komited untuk merevolusikan landskap bola sepak, mencungkil bakat baharu dan berharap pemain-pemain tersebut dapat mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa suatu hari nanti,” ujarnya.
Untuk rekod, Perkemas Malaysia ditubuhkan pada 27 Julai 2022 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Antara objektif utama penubuhannya termasuk mereka bentuk dan melaksana inisiatif, memperjuangkan hak asasi manusia, memupuk kerjasama, serta memupuk perpaduan dan keharmonian.
Layari https://perkemasmalaysia.com/ untuk maklumat lanjut mengenai Perkemas Malaysia.