HomeBerita19 terkorban, Malaysia kecam serangan Israel ke atas Rafah

19 terkorban, Malaysia kecam serangan Israel ke atas Rafah

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel terkini ke atas Rafah di Gaza pada Isnin lalu, sekali gus yang menyebabkan 19 orang terbunuh, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Palestin.

Kementerian Luar atau Wisma Putra berkata, serangan itu yang berlaku beberapa jam selepas pejuang Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai dibuat oleh Mesir dan Qatar, jelas menunjukkan keengganan Israel untuk bekerjasama bagi tujuan keamanan.

“Rejim Israel bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

“Oleh yang demikian, Israel patut menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa,” menurut Kementerian Luar dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra berkata, serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) khususnya di Rafah, Gaza adalah amat zalim, terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir daripada pencerobohan Israel.

“Masyarakat antarabangsa mesti menggandakan usaha untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakan jenayahnya yang disengajakan.

“Mereka juga perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Author

Pilihan Editor