HomeBeritaPolis buka dua kertas siasatan babit kesalahan kempen PRK KKB

Polis buka dua kertas siasatan babit kesalahan kempen PRK KKB

POLIS membuka dua kertas siasatan daripada tujuh laporan diterima sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang bermula 27 lepas hingga Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, dua kertas siasatan itu masing-masing mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998, yang melibatkan ubah suai logo UMNO iaitu lambang keris diganti roket dan meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kenderaan.

Pada masa sama, beliau berkata, polis turut membuat dua tangkapan membabitkan lelaki warga tempatan susulan kes meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kenderaan.

“Lima lagi laporan adalah melibatkan kes-kes yang tidak mempunyai unsur jenayah dan dirujuk kepada repot yang sama serta tindakan pencerahan oleh polis Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sasikala Devi berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya telah meluluskan sebanyak 57 permit kempen dan 40 permit ceramah.

Beliau sekali lagi mengingatkan calon serta parti politik terlibat supaya berkempen secara berhemah dengan tidak menyentuh isu 3R iaitu raja, kaum dan agama.

Katanya, calon yang melanggar perkara itu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKM 1998.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, tempoh kempen PRK Kuala Kubu Baharu adalah selama 14 hari iaitu bermula 27 April hingga 10 Mei ini.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.

 

Author

Pilihan Editor