HomeBeritaFaisal Halim disimbah asid di pusat beli-belah terkemuka

Faisal Halim disimbah asid di pusat beli-belah terkemuka

SELEPAS Akhyar Rashid, dunia bola sepak tempatan kini dikejutkan dengan seorang lagi pemain skuad kebangsaan yang menjadi mangsa keganasan pihak tidak bertanggungjawab.

Menerusi perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom di laman X, Faisal Halim yang juga pemain sayap pasukan Selangor FC disimbah asid pada Ahad petang.

Menurut Fina, insiden yang menimpa pemain berusia 26 tahun itu berlaku di sebuah pusat beli-belah terkemuka di tanah air.

“Baru dapat perkhabaran Faisal Halim kena simbah asid di sebuah mall terkemuka tanah air.

“Allahuakbar,” tulisnya pada Ahad.

Dalam pada itu, Fina turut berkongsi foto memaparkan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey sedang terduduk.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan keadaan sebenar Mickey, namun berdasarkan foto yang dikongsi, kepala dan badan pemain itu dilihat kemerahan akibat kesan simbahan asid berkenaan.

Difahamkan, pihak polis sudah pun berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu memainkan peranan penting pada aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada Jumaat depan.

Prihatin dengan perkara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa, beliau mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang dilakukan terhadap para atlet.

Beliau turut menggesa pihak polis untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. No violence in sports! (Tiada keganasan dalam sukan).

“Saya meminta @PDRMsia (Polis Diraja Malaysia) untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku,” tulisnya dalam hantaran di laman X pada Sabtu.

Khamis lalu, Akhyar yang juga penyerang TFC cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki, dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di Kuala Terengganu, Terengganu.

Dalam kejadian pada jam 8.53 malam itu, pemain berusia 25 tahun terbabit terpaksa menerima enam jahitan akibat kecederaan pada kepala dan tapak kaki kiri.

Pemain pinjaman dari JDT itu juga kerugian RM4,800, selepas beg tangan jenama LV dan dompet jenama Coach dilarikan dua penjenayah yang memakai jaket hoodie.

Susulan itu, polis sudah pun menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilapor berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek kejadian itu yang dipercayai melibatkan lebih daripada dua individu.

Author

Pilihan Editor