HomeBeritaPolis buru suspek pecah cermin kereta Safiq Rahim

Polis buru suspek pecah cermin kereta Safiq Rahim

POLIS sedang memburu suspek yang memecahkan cermin kereta pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim yang berlaku di pusat latihan JDT di Jalan Sri Gelam dekat Johor Bahru, Johor pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan sedang dijalankan pihaknya manakala usaha mengesan suspek sedang dilakukan.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek yang terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Terdahulu, Safiq memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali, di kawasan pusat latihan JDT.

Menerusi laporan polis dimuat naik, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan kira-kira jam 10.05 malam Selasa.

“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.

“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya.

“Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid di pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Minggu lalu, seorang lagi pemain, Akhyar Rashid disamun dan diserang di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Terengganu.

 

Author

Pilihan Editor