UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) bukan berada di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata, beliau tetap membangkitkan polemik terkini berhubung institusi itu kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengubah dasar UiTM, sebaliknya akan tetap mengekalkan universiti itu untuk Bumiputera.
“UiTM bukan di bawah MARA. Namun atas rasa tanggungjawab, saya turut bertanya mengenai polemik terkini kepada Menteri Pengajian Tinggi.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk ubah dasar UiTM dan kekal untuk Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam pada Khamis, bagi membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera.
Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan terhadap kempen yang dilancarkan sejak Selasa.
MPP itu berkata, universiti tersebut perlu berpegang objektif asal penubuhannya iaitu memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah serta Sarawak.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan menegaskan supaya tidak membincangkan mengenai isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM.
Menurut Zambry, isu terbabit tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT ataupun pada mesyuarat Kabinet.