SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan badan melecur akibat kebakaran di sebuah rumah di Kampung Ujung Pasir dekat Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 11.40 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat tersebut, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke tempat lokasi dan mendapati api telah padam.
“Pemeriksaan awal polis menemukan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di sebelah katil di bilik tidurnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat kebakaran pada tilam dan kesan lecur pada badan mangsa berpunca daripada puntung rokok,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Hatta berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh daripada pihak hospital.
Pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak meninggalkan ahli keluarga terutama warga emas yang telah uzur bersendirian di rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.36 pagi.
Seorang mangsa berusia 78 tahun ditemui di lokasi dan berdasarkan siasatan, kebakaran melibatkan tilam di dalam bilik sebuah rumah jenis kekal (kelas A) berkeluasan keseluruhan anggaran 18×20 kaki persegi.
“Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.