HomeBeritaPenunggang motosikal dilanggar selepas pukul cermin sisi Tesla

Penunggang motosikal dilanggar selepas pukul cermin sisi Tesla

AKIBAT bertindak keterlaluan memukul cermin sisi sebuah kereta, seorang penunggang motosikal dilanggar di Lebuhraya Sprint dekat ibu negara pada Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 8.30 pagi semasa penunggang motosikal menunggang di lorong paling kanan di lebuh raya tersebut.

Beliau berkata, secara tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Tesla telah menukar haluan dari lorong tengah ke lorong kanan menyebabkan penunggang motosikal terhimpit ke kanan jalan.

“Penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki berusia 25 tahun telah bertindak memukul cermin sisi sebelah kanan kereta tersebut dengan tangan.

“Akibat kejadian itu, pemandu Tesla tersebut telah bertindak menghimpit penunggang motosikal sehingga terjatuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Susulan kemalangan itu, katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan luka di tangan, lutut dan kaki serta sudah mendapat rawatan di klinik berdekatan.

Katanya, kes diklasifikasikan  mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987.

 

Author

Pilihan Editor