KUALA LUMPUR – Family Frontiers Malaysia dan rangkaian ibu warga Malaysia menyeru kerajaan untuk memastikan pindaan perlembagaan yang memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara dilaksanakan secara retroaktif.
Menurut KDN, Isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara melalui pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 sedang diusahakan, namun pindaan tersebut tidak akan dilaksanakan secara retroaktif. Ini bermakna kanak-kanak yang dilahirkan sebelum pindaan ini dikuatkuasakan akan kekal sebagai bukan warganegara.
Keadaan tersebut dilaporkan memberi kesan negatif kepada ibu-ibu yang mempunyai permohonan kewarganegaraan yang masih diproses di bawah Perkara 15(2), terutamanya mereka yang berada di luar negara dan tidak mempunyai peluang untuk mengemukakan semula permohonan di Putrajaya. Wanita yang telah bercerai atau menjadi balu dan anak-anak mereka turut terkesan, lebih-lebih lagi jika mereka ingin pulang ke tanah air. Selain itu, anak-anak yang kini berumur lebih dari 21 tahun atau mereka yang ibu mereka telah meninggal dunia juga tidak layak memohon kewarganegaraan di bawah pindaan yang baharu ini.
Family Frontiers Malaysia, sebuah tubuhan bukan kerajaan (NGO), maklumkan bahawa kelulusan yang diberikan kepada ibu-ibu Malaysia di bawah Perkara 15(2), namun ramai ibu-ibu menerima surat penolakan tanpa sebarang penjelasan. Ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri pada Mac 2024, yang memberi jaminan bahawa semua surat penolakan akan disertakan dengan alasan. Menurut data mereka, sejumlah besar penolakan diterima oleh ibu warga Malaysia yang kini menetap di luar negara, walaupun tidak diketahui umum bahawa ibu mesti tinggal di Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan, sepertimana yang dinyatakan di bawah Perkara 15(2).