PUTRAJAYA: Kerajaan bakal memilih sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pusat latihan khas sukan elektronik atau e-Sukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan bahawa langkah ini bertujuan untuk mengenalpasti serta menggilap bakat-bakat baru dalam sukan e-Sukan yang semakin popular di kalangan belia.
Beliau mendedahkan bahawa beliau telah mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tentang penubuhan program khas TVET tersebut. Beliau harap inisiatif ini dapat melatih dan membangunkan generasi muda sebagai pemain profesional e-Sukan.
“Institusi TVET yang dipilih akan melatih generasi muda dalam bidang e-Sukan agar mereka dapat menjadi pemain profesional. Kami di pihak kerajaan berhasrat untuk melahirkan ikon e-Sukan bertaraf dunia yang memiliki potensi besar,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan dengan peserta dan penganjur Mid-Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 – Moonton Games Malaysia, di sini pada Jumaat.