PETALING JAYA: Penduduk sebuah kondominium berstatus strata di Mont Kiara, Kuala Lumpur, telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ‘penyelewengan dan salah guna kuasa’ oleh jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kediaman itu. Wakil penduduk, Dzulhilman Sulaiman, mendakwa pengurusan JMB yang baru dilantik 18 bulan lalu dipercayai menganugerahkan kontrak penyelenggaraan bernilai RM3.3 juta tanpa proses tender yang betul kepada syarikat tidak bertauliah dan tidak pernah diaudit sejak 2013.
Menurut Dzulhilman, penduduk membabitkan 200 unit di kondominium tersebut membayar antara RM800 hingga RM2,000 yuran penyelenggaraan bulanan yang dikira mengikut keluasan kediaman. Namun, perkara yang menimbulkan persoalan adalah berkaitan kontrak penyelenggaraan bangunan yang sebut harganya lebih tinggi daripada nilai kontrak yang sepatutnya, dan syarikat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan individu dalam JMB.
Maklumat mengenai nilai kontrak itu diketahui menerusi pembentangan wakil JMB pada mesyuarat agung tahunan Disember tahun lalu. Dzulhilman menjelaskan bahawa tender tersebut melibatkan kontrak membaik pulih, landskap, dan penyelenggaraan, tetapi kos sebenarnya tidak sebegitu rupa. “Jadi kita minta siasat dengan syarikat-syarikat terlibat,” katanya.
Beliau menambah, penduduk tidak puas hati dan sebab itu mereka hadir ke SPRM untuk menyerahkan bukti-bukti yang sudah dikumpulkan mengenai salah laku dan pecah amanah pihak pengurusan JMB. Laporan yang dibuat Dzulhilman itu menyusul penularan dakwaan ‘kartel JMB’ yang turut dikaitkan dengan seorang wakil rakyat DAP, pegawai khasnya, dan seorang lagi individu.
Dzulhilman turut mendakwa, penduduk pada mesyuarat agung lalu sudah bersetuju supaya kontrak JMB terbabit dihentikan memandangkan pelbagai masalah. “Ada beberapa ahlinya telah keluar kerana tak tahan, walaupun kita bersetuju tukar JMB tetapi malangnya penyerahan kuasa belum berlaku,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa JMB terbabit membawa perkara tersebut ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata yang akhirnya mereka kalah, namun mereka bertindak membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi menyebabkan proses peralihan itu mengambil masa. Penduduk berharap agar siasatan segera dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan ini.