KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket yang menggunakan warga asing dan kanak-kanak dalam aktiviti mengemis di sekitar ibu kota telah terdedah dan dipatahkan oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Op Selamat di Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara pada malam tadi.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun pula disyaki diberikan ubat batuk oleh sindiket tersebut sebelum dibawa oleh warga asing dewasa terdiri daripada lelaki dan perempuan untuk mengemis meminta sedekah di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.
Taktik itu disyaki digunakan oleh sindiket tersebut untuk meraih simpati awam di tempat terbuka bagi menambah ‘pendapatan’ warga asing terlibat melalui aktiviti mengemis itu.
Namun, kegiatan haram yang melanggar undang-undang dan disyaki didalangi seorang warga Pakistan yang fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu akhirnya berjaya dilumpuhkan selepas sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat yang menjadi markas atau pusat utama operasi sindiket tersebut digempur oleh pasukan serbuan Imigresen bermula jam 9 malam Selasa.
Pihak media yang turut menyertai operasi serbuan bersama anggota Imigresen KL mendapati, hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan serbuan membawa kepada penemuan beberapa botol ubat batuk di kediaman yang disewa warga asing di premis rumah kedai tersebut.
Difahamkan bahawa bangunan rumah kedai empat tingkat itu turut menjadi penempatan untuk warga asing yang disyaki berasal dari Pakistan, Indonesia dan India dengan bayaran sewa bulanan sebanyak RM800 serta dilengkapi kemudahan penghawa dingin.
Tinjauan semasa serbuan turut mendapati terdapat ruangan yang dipecahkan dan dijadikan beberapa bilik bersaiz ‘sekangkang kera’ (terlalu sempit) yang diduduki kira-kira lapan orang dalam satu bilik bersama beberapa kanak-kanak.
Difahamkan bahawa, akses untuk menaiki kediaman tersebut turut dikawal ketat oleh sindiket itu dan pengemis dipercayai perlu menyerahkan wang harian yang diperoleh melalui aktiviti mengemis terlebih dahulu kepada ketua sindiket sebelum dibenarkan naik ke bilik masing-masing yang kelihatan sangat kotor.
Selain itu, dalam serbuan sama pasukan Imigresen turut dikejutkan apabila berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut.
Kewujudan premis perniagaan dobi, gunting rambut dan alat elektronik serta telefon bimbit dipercayai sekadar helah sindiket untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi mengelak kegiatan haram mereka dijejaki dan diambil tindakan.
Ini kerana, pemeriksaan di dalam tiga premis tersebut membawa kepada penemuan puluhan dokumen pasport perjalanan disyaki memiliki cop palsu Imigresen di ruang belakang premis itu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi dilaksanakan selepas menjalankan risikan selama enam bulan sejak Januari lalu oleh sepasukan anggotanya di lokasi tersebut yang memerhati rapat pergerakan dan aktiviti sindiket tersebut.
Katanya, serbuan itu berjaya membawa pasukan kepada seorang wanita Indonesia, India dan seorang lelaki tempatan yang disyaki ejen kepada sindiket tersebut.