PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Belanjawan Madani 2025 akan merangkumi usaha peningkatan siling dan lantai ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, rancangan ekonomi tersebut yang bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober, akan berfokus kepada dua perkara tersebut.
Dalam ucapan beliau, Anwar menjelaskan bahawa kenaikan siling tersebut merujuk kepada usaha menstruktur semula ekonomi negara untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi, iaitu sebagai peneraju ekonomi Asia, manakala kenaikan lantai sebagai usaha meningkatkan kehidupan rakyat seperti aspek pekerjaan dan pendapatan.
Menurut beliau, aspek ‘lantai’ adalah antara cabaran utama yang perlu dihadapi oleh kerajaan MADANI, selain daripada aspek ‘siling’. Beliau juga berkata bahawa kedua-dua perkara tersebut bakal memberikan manfaat besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian di Majlis Libat Urus Belanjawan 2025, yang diadakan di Kementerian Kewangan, pada Selasa.