PETALING JAYA – Pelawak terkenal, Harith Iskander, mengakui bahawa keretakan rumah tangganya dengan Dr. Jezamine Lim adalah berpunca daripadanya dan keputusan untuk bercerai dibuat secara bersama.
Menurut Harith, 58, proses perceraian tersebut bukan berlaku secara tiba-tiba tetapi sudah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jezamine berusaha keras mempertahankan perkahwinan kami dan kami telah melalui banyak proses termasuk kaunseling dan berbincang dengan rakan-rakan. Namun, ada masa hubungan kami menjadi tegang kerana kesilapan yang saya lakukan,” katanya menerusi podcast yang dihoskan Daphne Iking.
Harith, yang juga seorang pelakon, bagaimanapun enggan mendedahkan kesilapannya secara terperinci kerana bimbang anak-anak mereka akan menonton temu bual tersebut suatu hari nanti.
Dia juga menegaskan bahawa walaupun sudah bercerai, hubungan mereka akan kekal sebagai sahabat baik. “Saya tidak mahu mencari alasan dan saya mengakui telah melakukan kesilapan seperti ramai lelaki lain. Sepanjang tempoh tersebut, Jezamine sangat tabah,” ujarnya.
Mengenai anak-anak mereka, Harith berkata bahawa mereka telah berbincang mengenai situasi rumah tangga tersebut dan anak-anak mereka memahami walaupun berasa kecewa. Rutin menguruskan keluarga akan tetap sama walaupun mereka tidak lagi tinggal bersama sebagai suami isteri.
Jezamine menolak dakwaan bahawa dia memfailkan cerai kerana didera oleh Harith. Dia mengakui terkejut dengan spekulasi tersebut dan meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar. Sebelum ini, pada 8 Julai lalu, Jezamine mengesahkan telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.