KULIM: Seorang petani direman selama enam hari bermula hari ini berhubung kes dua kanak-kanak termakan makanan ringan dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lepas.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad bagi siasatan bersabit pengabaian terhadap kanak-kanak dan kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Supritenden Mohamad Azizul Khairi berkata suspek ditahan ketika berada di Serdang, Kedah atas urusan peribadi, semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan kanak-kanak berusia 3 tahun, Muhammad Akil Syauqi yang termakan makanan ringan dicampur racun tikus meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 8.40 pagi.
Terdahulu, dia dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lepas.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Sumber: BuletinTV3