SEBERANG PERAI: Mayat dua wanita ditemukan oleh orang awam dalam sebuah kereta jenis Honda WRV di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam pada rabu.

Insiden kira-kira jam 5.30 petang itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci.

“Sebaik tiba pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.
“Terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan yang kemudian pihak kita menyerahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.


Kedua mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an tersebut berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih daripada lima hari susulan mayat mereka sudah kembung dan berbau.
Seorang daripada mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.
Mayat kedua-dua wanita terbabit dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.
Sumber: Harian Metro