HomeBeritaPenolong Pegawai Perubatan maut ambulans langgar treler

Penolong Pegawai Perubatan maut ambulans langgar treler

TAPAH: Seorang penolong pegawai perubatan maut selepas ambulans yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 330.8 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi, menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.
Siasatan awal mendapati ambulans yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun bersama seorang wanita yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 30 tahun telah melanggar bahagian belakang sebuah treler yang bergerak di lorong kiri.
“Akibat perlanggaran tersebut, penolong pegawai perubatan yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian,” kata Mohd Naim dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau juga memaklumkan bahawa mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
Sementara itu, pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Mohd Naim, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Author

Pilihan Editor