SUNGAI BAKAP – Sambutan masyarakat DUN Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) dilihat sangat menggalakkan.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, menyatakan bahawa suasana di Sungai Bakap jauh berbeza jika dibandingkan dengan PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) yang berlangsung sebelum ini.
“Saya lihat perbezaan ketara bila berkempen di PRK Kuala Kubu Baharu berbanding di Sungai Bakap ini. Sambutan masyarakat terutama anak-anak muda dalam program-program ceramah atau turun ke rumah sangat luar biasa,” katanya.
Beliau menambah, kehadiran ramai orang dalam ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL malam tadi membuktikan tahap sokongan rakyat yang kuat terhadap parti itu.
“Saya sangat teruja malam tadi kerana terpaksa berjalan kaki akibat kesesakan jalan raya disebabkan terlalu banyak kenderaan. Kebanyakan yang datang dengan motosikal adalah anak-anak muda tempatan,” tambahnya lagi.
Bakri, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, turut berkongsi pengalaman bertemu bekas pekerjanya di Ladang Batu Kawan yang kini berjanji akan mengundi PERIKATAN NASIONAL.
Beliau ditemui di Padang Flat Mutiara Jaya, Simpang Ampat, dalam program Perlawanan Persahabatan Kabaddi bersama masyarakat India. Program tersebut turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi DHPP Pusat, N Balasubramaniam.
Perlawanan Kabaddi antara ‘Team MB Kedah’ dan ‘Sungai Bakap Indian Youth’ ini diadakan sebagai tanda solidariti bersama masyarakat setempat.
Menurut Bakri, “Program Kabaddi ini menunjukkan masyarakat India perlahan-lahan menyokong kita, yang jelas terbukti melalui penyertaan mereka dalam sukan masyarakat bersama-sama.”