SHAH ALAM: Seramai 41 warga Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza tiba dengan selamat di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang semalam. Mereka tiba diiringi oleh 86 ahli keluarga yang turut menemani perjalanan tersebut.
Ketibaan mereka yang berlangsung sekitar jam 2 hingga 2.30 petang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Menurut Mohamed Khaled, pesawat tersebut membawa warga Palestin dari Pangkalan Udara Al Maza di Mesir, melalui penerbangan selama 13 jam dengan singgah seketika di Karachi sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa misi ini dijalankan atas dasar kemanusiaan dan menunjukkan solidariti rakyat Malaysia terhadap rakyat Palestin serta pendirian tegas negara dalam menentang sebarang tindakan zalim atau genosid.
“Kita (Kerajaan Malaysia) telah merangka misi ini sejak sekian lama, tetapi perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Mesir, selain mempertimbangkan pelbagai alternatif dalam usaha ini.
“Enam negara telah menyatakan hasrat untuk membawa pesakit Palestin ke negara masing-masing, dan Malaysia adalah negara kelima yang berjaya membawa masuk warga Palestin,” katanya ketika ditemui media selepas menyambut ketibaan mereka.
Menerusi misi ini, seramai 41 pesakit yang terdiri daripada 20 lelaki dan 21 wanita berusia antara lapan bulan hingga 62 tahun bersama ahli keluarga mereka, dibawa ke Malaysia setelah disaring dan dikenalpasti untuk menerima rawatan lanjut.
Pesakit-pesakit ini mengalami pelbagai kecederaan, termasuk melecur dan patah kaki, serta ada yang kehilangan anggota tubuh badan.
“Mereka ditemani oleh 86 ahli keluarga kerana kebanyakan pesakit ini adalah kanak-kanak, selain atas dasar kemanusiaan.
“Secara keseluruhan, kerajaan telah membawa 127 warga Palestin dalam misi ini,” tambahnya.
Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa kesemua pesakit akan didiagnosis tahap kesihatan mereka di Hospital Medan TUDM sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk rawatan lanjut.
“Di HAT Tuanku Mizan, tiga wad akan disediakan khusus untuk merawat mereka,” katanya.
Keselamatan mereka akan dipantau dengan ketat oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang tempoh mereka menerima rawatan di negara ini.
Misi kemanusiaan ini dilaksanakan atas arahan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 4 Ogos lalu, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke negara ini.
Mohamed Khaled turut menjelaskan bahawa tindakan kerajaan memilih untuk membawa warga Palestin ini mendapatkan rawatan di Malaysia adalah bagi mengurangkan risiko ancaman keselamatan.
Beliau berkata, sebarang perancangan untuk menubuhkan Hospital Medan ATM di Gaza adalah satu risiko yang amat tinggi.
“Tentera Israel atau IDF (Pasukan Pertahanan Israel) tidak pernah peduli sama ada markas tentera atau hospital, mereka akan tetap menyerang. Oleh itu, tindakan menubuhkan Hospital Medan bukanlah langkah terbaik.
“Selain itu, pendirian tegas Malaysia menentang kezaliman Israel juga meningkatkan risiko kepada pasukan keselamatan kita,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Indonesia turut menawarkan bantuan perubatan kepada penduduk Gaza dengan menghantar kapal tentera mereka untuk membawa mangsa ke Indonesia bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Objektif utama kita adalah untuk merawat mereka dalam keadaan dan situasi yang selamat tanpa sebarang gangguan atau ancaman keselamatan,” ujarnya.