KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sengaja membangkitkan isu perkauman selain menjatuhkan reputasi bekas perdana menteri itu sebagai tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia.
Dr Mahathir, 97, selaku plaintif berkata hanya dengan mempunyai salasilah keturunan yang berdarah India, tidak menjadikan beliau “kurang Melayu” atau “bukan Melayu”.
“Ini juga telah dibangkitkan oleh defendan (Ahmad Zahid) hanya selepas saya tidak lagi bersama UMNO yang jelas menunjukkan motif dan niat jahat defendan,” dakwa Dr Mahathir menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan Ahmad Zahid, yang difailkan pada 8 Sept lepas.
Dr Mahathir menyaman Ahmad Zahid, 69, pada 20 Julai lepas atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.
Ahli Parlimen Langkawi itu yang menjawab pembelaan Ahmad Zahid, turut mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu sememangnya mempunyai niat jahat (malice) apabila memfitnah dengan menggelarnya sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ tanpa sebarang usul periksa tentang latar belakang atau keturunan beliau.
Dakwa Dr Mahathir, defendan juga gagal mengambil langkah wajar dan munasabah untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan daripadanya sebelum membuat kenyataan fitnah itu.
Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.
Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 7 Nov ini untuk pengurusan kes selanjutnya. – BERNAMA