HomeSukanPerak FC lantik Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih

Perak FC lantik Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

PERAK FC hari ini mengumumkan pelantikan Lim Teong Kim sebagai Ketua Jurulatih bagi musim 2023 akan datang. Teong Kim menandatangani kontrak dua tahun dengan Perak FC, dimana kelab itu mempunyai pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun lagi.

Teong Kim menyatakan bahawa beliau ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia.

Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata sudah tiba masanya untuk PFC menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.

“Pandangan Lim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan, ” kata Azim dalam kenyataan media Perak FC pada Selasa.

Lembaga pengarah turut mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih semasa Yusri Che Lah atas segala usaha dan kerja keras beliau sepanjang berkhidmat dengan pasukan.

Yusri akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranan baharunya sejurus selepas perlawanan dengan Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September 2022, jam 9 malam, dengan proses penyerahan dimuktamadkan sebelum pramusim 2023.

Author

Pilihan Editor