KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang bekas penghuni sebuah madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam yang didera sepanjang empat bulan berada di pusat itu.
Berita berkaitan: Madrasah Darussolihin: JKM ambil tindakan jika beroperasi tak berdaftar
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada lelaki terbabit pada bulan lepas.
“Saya mengesahkan polis menerima satu laporan berhubung perkara ini, siasatan masih dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Pertubuhan Kebajikan Darussolihin dalam kenyataan hari ini menafikan dakwaan madrasah Darussolihin yang ditubuhkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan penderaan ala militan kepada penghuninya.
Berita berkaitan: Madrasah Darussolihin: JKM ambil tindakan jika beroperasi tak berdaftar
Menurut kenyataan itu, selain menekankan ilmu agama, madrasah ditubuhkan sejak 2007 melaksanakan program pemulihan dan perlindungan terhadap individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial.
Terdahulu, bekas penghuni madrasah tersebut yang ingin dikenali sebagai Haris, 20, ketika ditemui pemberita hari ini mendakwa dia dan beberapa penghuni lain berusia lingkungan 19 hingga 30-an dikurung di dalam bilik gelap, didera secara fizikal dan mental serta mengalami gangguan seksual sepanjang menerima rawatan di madrasah itu. – BERNAMA