KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina berpendapat akan wujud polemik seperti penempatan mangsa banjir atau pusat pengundian jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan waktu terdekat.
Beliau berkata demikian sebagai yang bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat kerana bimbang jangkaan berlakunya banjir besar hujung tahun menyebabkan ia tidak sesuai diadakan PRU15.
“Sebagai Menteri yang menjaga kebajikan rakyat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan 6,010 sekolah sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir dan mungkin mencecah 10,000 PPS.
“Faktor utama pemilihan sekolah, dewan sebagai PPS kerana ia dikenal pasti tidak dinaiki air, tempat-tempat ini selamat namun saya bimbang kerana sekolah sama dijadikan tempat pembuangan undi.
“Sekiranya berlaku banjir, hendak jadi PPS ke atau pusat mengundi? Mana lebih penting?
“Bayangkan jika banjir, dewan nak adakan PRU, nak selamatkan orang satu isu, adakalanya MyKad tidak sempat diselamatkan,” katanya pada sidang media.
Beliau hadir ke Forum Kepimpinan Wanita Bersama Pemimpin Dalam Politik Malaysia di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Tasik Perdana di sini.
Antara panel yang hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; bekas Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Senator di Dewan Negara yang juga Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.
Antara resolusi forum adalah menggesa sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kepimpinan tertinggi parti, dalam badan legislatif, kepimpinan peringkat negeri dan Persekutuan.
Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya sehingga hari ini melakukan persiapan dari JKM.
“Siap siaga pihak kaunseling supaya kebajikan dan isu rakyat diutamakan.
“Saya tidak halang proses demokrasi, saya tahu masa sudah tiba dan tidak pernah kata tidak.
“Tetapi waktu ini, saya bukan buat ramalan, tetapi sepakat, berdasarkan fakta supaya diutamakan kesehahteraan rakyat dan pembubaran Parlimen sewajarnya dibincangkan di Kabinet bersama Jemaah Menteri lain,” katanya.
Sementara itu, Rina enggan mengulas ketika ditanya isu penderaan di pusat perlindungan dan pemulihan tidak berdaftar.