HomeBeritaAPM siap sedia hadapi monsun timur laut, PRU15

APM siap sedia hadapi monsun timur laut, PRU15

 

MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia dalam pelbagai aspek untuk menghadapi bencana banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail berkata, bantuan yang akan dihulurkan ialah membawa mangsa banjir khususnya orang kurang upaya (OKU) dan warga emas ke pusat pengundian menggunakan aset APM bagi memastikan kelancaran PRU15.

“Jika PRU15 berlaku dalam tempoh MTL, kita di APM telah bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan kelancaran proses pengundian dan bantuan ini bukan pertama kali kita lakukan kerana pada PRU14 sebelum ini, APM turut membantu.

“Kita telah menyusun atur strategi bagaimana hendak melicinkan pelaksanaan tugas dalam kedua-dua situasi yang berlaku ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka 2022 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 10,510 anggota dan pegawai APM di seluruh negara akan digerakkan bagi pelaksanaan kedua-dua tugasan berkenaan dengan bantuan 481 kenderaan darat seperti pacuan empat roda dan lori serta 759 kenderaan air seperti bot.

Pada masa sama, aset APM akan digerakkan mengikut keperluan kawasan terjejas banjir ialah 5,772 jaket keselamatan, Collapsible Tent (64,310 unit) dan generator (144 unit).

Norhafifi berkata, anggota APM dari negeri yang tidak dilanda banjir juga akan digerakkan ke negeri terjejas agar bantuan memindah serta menyelamatkan mangsa dapat dilakukan secara lebih efektif dan segera.

Dalam pada itu, beliau berkata penduduk yang tinggal di kawasan berpotensi banjir disaran bersiap sedia untuk berpindah sekiranya kawasan rumah mereka dinaiki air dan tidak perlu menunggu arahan daripada pihak berkuasa.

“Penduduk juga dinasihatkan menyediakan beg ready to go yang mengandungi barangan keperluan asas, dokumen penting dan bekalan makanan untuk dibawa bersama sekiranya perlu berpindah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara telah diwartakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 138 PPS adalah di Melaka.

Katanya, kerja-kerja menyelia kemudahan dan aspek kebersihan di PPS berkenaan telah dilakukan bagi memastikan ia sedia dibuka kepada mangsa banjir sekiranya diperlukan.

Beliau berkata APM turut menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 32 juta penduduk di negara ini dengan asas pengurusan bencana merangkumi aspek menyelamat, perubatan dan melawan kebakaran menerusi Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT). – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor