JASIN: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) mengambil inisiatif memperkukuh hubungan dua hala bersama rakan strategik, Celcom Malaysia Berhad yang merupakan penaja bersama bagi Program Tuisyen Pintar YPM@KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar).
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam satu hantaran memaklumkan baru-baru ini, YPM
membuat pemantauan pelaksanaan Program Tuisyen Pintar ini di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin.
Perkara itu berikutan MRSM TGB merupakan institusi yang dipilih bagi menyediakan kemudahan kelas dan tenaga pengajar bagi program tersebut.
“Lawatan pemantauan ini telah disertai oleh rakan strategik YPM, Celcom (Malaysia) Berhad meliputi lawatan ke kelas, taklimat serta bual bicara secara langsung bersama 100 orang peserta tuisyen YPM.
“Peserta program ini terdiri daripada pelajar B40 di sekolah sekitar daerah Jasin.
“Pemantauan ini dilaksana untuk mendapatkan maklum balas mengenai keberkesanan dan penambahbaikan program tuisyen itu,” maklum MARA di Facebook rasminya hari ini.
Justeru, MARA berharap kesemua pelajar yang terlibat dalam program berkenaan terus mencapai kecemerlangan.
“Semoga dengan sesi pemantauan ini dapat memberi gambaran penuh yang jelas kepada semua pihak terutamanya pihak penaja yang terlibat akan keberkesanan program ini kepada para pelajar,” tulisnya.
Terdahulu, Ketua Bahagian Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria hadir pada sesi pemantauan berkenaan.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM TGB, Muhd Syahidan Musa, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Mohd Alfouzii Nasir dan Ketua Perhubungan Kerajaan Celcom Malaysia, Areehan Abdullah.