HomeHiburanTAPAUfest 2022 kembali dengan 12 aksi bertema alam semula jadi

TAPAUfest 2022 kembali dengan 12 aksi bertema alam semula jadi

TAPAUFEST 2022 kini kembali dengan tema alam semula jadi dan barisan 12 aksi persembahan pemuzik indie merentasi genre dan nuansa dari Malaysia (MY), Indonesia (ID) dan Singapura (SG).

Festival bertemakan #SerumpunBerpesta ini mengajak peminat menikmati persembahan dengan pemandangan semula jadi sambil berkelah atau berkhemah di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak pada 22 dan 23 Oktober.

Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, pihaknya mempunyai visi yang jelas untuk festival kali ini membuka peluang kepada orang ramai meneroka Malaysia.

“Salah satu sebab kami melakukannya di Lenggong adalah kerana kami mendambakan peluang untuk meneroka Malaysia di luar bandar. Selepas satu dunia terkesan dengan wabak, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

TAPAUfest 2022 akan mempersembahkan 12 aksi dengan menampilkan .Feast (ID), Margasatwa (MY), Abangsapau (SG), Sweetass (MY), The Pinholes (SG) dan Salammusik (MY), pada hari pertama.

Hari kedua festival diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (MY), The DARE (ID), The Filters (MY), Sobs (SG), The Times (MY) dan Hindia (ID).

TAPAUfest juga berbangga menjadi pentas penampilan sulung untuk barisan artis Indonesia di Malaysia, iaitu Hindia, The Dare dan .Feast!

Ahmad Faris turut menzahirkan penghargaannya bagi pihak TAPAUfest kepada semua pihak terlibat menjayakan festival ini.

“Kami sangat menghargai semangat dan penglibatan oleh Majlis Daerah Lenggong bagi menjayakan TAPAUfest di kawasan mereka. TAPAUfest juga tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dari CENDANA yang menunjukkan kepercayaan mereka terhadap komuniti indie sekali lagi.

“Terima kasih juga kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan Anbot kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni, komuniti dan budaya indie Asia Tenggara,” katanya lagi.

Tiket Pra-Jualan boleh dibeli dengan Tiket Solo Sehari berharga RM165 (1 tiket untuk Hari 1 atau Hari 2), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (1 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2).

Layari laman www.tapaufest.asia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai festival ini.

Author

Pilihan Editor