HomePendidikanBajet 2023: KPM terima RM55.6 bilion, mahu lonjakkan kualiti pendidikan

Bajet 2023: KPM terima RM55.6 bilion, mahu lonjakkan kualiti pendidikan

 

CYBERJAYA:  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan 2023 kali ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, dengan tambahan sebanyak RM3 bilion berbanding tahun ini semestinya dapat melonjakkan kualiti pendidikan negara.

“Pendidikan sememangnya amat dekat dengan jiwa saya.

“Bila diberi amanah untuk menerajui KPM, tumpuan saya adalah untuk menambah baik perkara struktur dalam ekosistem pendidikan bagi melonjakkan kualiti pendidikan negara.

“Perubahan demi perubahan dilaksanakan bagi memastikan anak-anak generasi pewaris negara mendapat pendidikan yang terbaik,” tulisnya di Facebook hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen petang tadi turut mengumumkan bahawa semua murid akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan jumlah RM150.

Menurutnya, bantuan itu dinaikkan berbanding RM100 tahun ini dan akan diberi kepada semua murid tanpa had pendapatan ibu bapa bermula Januari 2023.

Author

Pilihan Editor