LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akan meletakkan jawatan sebagai pemimpin Konservatif pada Khamis, tetapi terus menjadi perdana menteri sehingga musim luruh, menurut media Britain lapor Xinhua.
Pemilihan pucuk pimpinan baharu Konservatif akan diadakan pada musim panas ini dan perdana menteri baharu akan diumumkan menjelang persidangan parti Tory pada Oktober.
Pengunduran beliau di tengah-tengah kemelut yang menyaksikan ramai menteri meletakkan jawatan berikutan skandal yang melanda dirinya. Jumlah menteri yang meletakan jawatan melebihi 50 pada pagi Khamis. Pada Selasa, Sajid Javid dan Rishi Sunak melepaskan jawatan masing-masing sebagai setiausaha kesihatan dan canselor perbendaharaan.
Pemimpin pembangkang dari Parti Buruh Keir Starmer berkata, peletakan jawatan Johnson itu adalah “berita baik untuk negara… kami memerlukan permulaan baharu untuk Britain.”
Johnson terpalit dengan skandal yang tidak berkesudahan selama berbulan-bulan.
Beliau juga menjadi perdana menteri pertama Britain dalam sejarah yang didenda polis kerana melanggar undang-undang dengan menghadiri parti pada 2020 semasa sekatan pergerakan COVID-19.
Walaupun terselamat daripada undi tidak percaya baru-baru ini, tetapi lebih 40 peratus anggota partinya mahu beliau berundur.
Skandal terbaharunya melibatkan pelantikan Christopher Pincher sebagai timbalan ketua whip walaupun terdapat aduan mengenai salah laku seksual terhadap Ahli Parlimen itu. – BERNAMA