MAJALAH Forbes melaporkan bintang kelab Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe merupakan pemain bola sepak menerima gaji termahal di dunia dengan jumlah AS$128 juta (RM586 juta).
Laporan Forbes menyatakan nilai tertinggi itu dicatatkan selepas penyerang sensasi itu menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun untuk terus menyarung jersi PSG di Parc des Princess pada Mei lalu.
Pendapatan Mbappe juga merangkumi bonus kira-kira AS$110 juta (RM510.13 juta) selain anggaran tambahan pendapatan tahunan AS$18 juta (RM83.48 juta) daripada penajaan.
Untuk rekod, Mbappe kini ditaja oleh jenama antarabangsa seperti Nike, Hubley, Oakley serta menjadi penghias kulit permainan video terkenal FIFA 2023.
Rekod pendapatan terkini pemain Perancis itu sekaligus memadamkan rekod yang dipegang dua penyerang sensasi iaitu Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang berada dalam carta tertinggi selama lapan tahun berturut-turut.
Laporan majalah ekonomi itu juga turut menyatakan lima pemain teratas dihuni oleh Messi (AS$120 juta), Ronaldo (AS$100 juta), Neymar (AS$80 juta) dan pemain Liverpool, Mohamed Salah dengan pendapatan sebanyak AS$53 juta.
Sementara itu, pemain sensasi Manchester City, Erling Haaland mengisi kedudukan di tangga keenam manakala lagenda Barcelona, Andres Iniesta yang kini berkelana di Jepun, beraksi bersama kelab, Vissel Kobe meraih pendapatan lumayan sebanyak AS$30 juta.