KUALA LUMPUR: “Rumah baru tak jumpa lagi. Nilai pampasan sedikit, notis keluar Disember ini. Saya nak tinggal mana. Boleh jadi saya tidur di tepi sungai yang ada di kawasan sini bersama anak dan isteri saya,” kata Amir, 60.
Amir antara penduduk yang menerima notis pengosongan kediaman susulan pengambilan tanah oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
Menurut Amir, dia yang telah mendiami kawasan itu sepanjang hidupnya mengalami kesulitan untuk mencari kediaman baharu berikutan penerimaan jumlah pampasan yang sedikit serta notis singkat arahan perpindahan keluar sebelum hujung tahun ini.
“Jumlah pampasan yang diterima hanya boleh tinggal di kubur sahaja. DBKL sudah berjanji menyediakan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), sampai sekarang tiada khabar berita. Disember ini dah kena keluar setelah dapat notis.
“Saya sudah duduk sini sejak lahir. Umur pun dah 60 tahun. Rumah sekarang atas nama arwah ayah saya. Adik-beradik saya seramai tujuh orang. Kalau dibahagikan dengan jumlah pampasan RM200,000 yang sedikit ini bersama adik-beradik yang lain, berapa sahaja yang saya dapat untuk cari rumah baharu.
“Pejabat Tanah Galian (PTG) sudah menetapkan notis hingga Mac tahun depan. Tetapi dari pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) kena keluar Disember ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Tambahnya, beliau juga meluahkan kebimbangan bagi mendapatkan kediaman baharu sebelum notis keluar berakhir disebabkan kesukaran membuat permohonan pinjaman bank atas faktor usia.
“Saya nak buat pinjaman melalui pihak bank pun sukar atas faktor umur. Nak dapat rumah pegangan bebas (free hold) pun susah. Ada rumah atas pegangan pajakan (leasehold) pun dah kena ambil, mana anak cucu saya mahu tinggal lepas ini,” jelasnya.
Amir yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Jamek dalam bahagian pengurusan jenazah turut khuatir sekiranya dia berpindah di luar kawasan tempat tinggalnya akan menyukarkan pergerakan bagi urusan pekerjaannya.
“Nak kerja pun susah, kerja saya banyak kena bergerak. Kalau saya dapat rumah baru di luar kawasan macam mana saya nak bekerja yang banyak melibatkan pergerakan di banyak kawasan.
“Saya minta kerjasama dari mana-mana parti politik tidak kisahla dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional untuk membantu kami. Luahan ini memang saya dah pendam lama,” luahnya lagi.