HomePendidikanPPZ-MAIWP lancar jihad pendidikan - kepentingan zakat

PPZ-MAIWP lancar jihad pendidikan – kepentingan zakat

 

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS) hari ini melancarkan Jihad Pendidikan sebagai satu inisiatif untuk pelajar dan pendidik lebih memahami kepentingan menunaikan zakat.

Melalui kerjasama itu juga kedua-dua pihak bersetuju saling berhubung dan bekerjasama dalam membantu melengkapi keperluan para pelajar asnaf dan B40.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, program itu diharap menjadi wadah dalam memupuk lebih ramai generasi celik dan cakna zakat selain menjadi manifestasi peranan PPZ-MAIWP sebagai penjamin kepada asnaf.

“Meskipun para pelajar belum layak mengeluarkan zakat, namun pengetahuan tentang zakat perlu ada…apabila telah meningkat dewasa dan bekerja nanti, mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menunaikan zakat,” katanya ketika merasmikan program itu di KVERTS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET, Zulkernai Fauzi dan Pengarah KVERTS, Faridah Akhma Zulkifli.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP juga menyalurkan sumbangan kepada 250 pelajar asnaf dan B40, surau sekolah serta kolej, keseluruhannya berjumlah RM60,000.

Selain itu, turut diadakan Zakat Day @ KVERTS sebagai usaha mendedahkan kepentingan zakat kepada pelajar dan pendidik KVERTS melalui pelbagai aktiviti seperti Taklimat Zakat, Borak Santai Pengurusan Stres serta reruai zakat. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor