HomeBeritaAnwar tegur Hadi atas dakwaan 'ada iblis dalam PH'

Anwar tegur Hadi atas dakwaan ‘ada iblis dalam PH’

CYBERJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur supaya pimpinan parti politik menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai medan politik yang sihat dan beradab.

Presiden PKR dan Pengerusi PH itu berkata demikian bagi mengulas dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai ‘ada iblis dalam PH’.

“Saya menggesa pimpinan parti politik untuk menjadikan medan PRU15 sebagai medan yang demokratik, sihat dan beradab terutama dalam berkempen.

“Usah kita mengheret rakyat ke lembah permusuhan yang berlebihan, sebaliknya mesti berhujah atas fakta dan dasar yang mahu diketengahkan,” kata Anwar di Twitter pada hari ini.

Untuk rekod, Abdul Hadi berkata ‘ada iblis dalam PH’ ketika berucap pada ‘Himpunan Penyatuan Ummah: Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam’ di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat malam lalu.

Video ucapannya yang turut dikongsikan di Facebooknya itu menunjukkan beliau berkata demikian bagi menjelaskan mengapa PH harus ditolak.

Kata Abdul Hadi perkara yang paling mencabar berlaku semasa pemerintahan PH adalah semasa PH hendak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Tambahnya, kesan daripada itu, PH berani menunjukkan simpati kepada komunis dengan membawa balik abu Ketua Umum Parti Komunis Malaya, Chin Peng ke Malaysia dan membiarkan perayaan Revolusi Komunis di Kajang.

Jelasnya lagi, perbuatan PH seperti itu menunjukkan wujudnya ‘iblis’ dalam PH.

Author

Pilihan Editor