HomeBeritaPalang kutip duit KLIA2 dihentikan

Palang kutip duit KLIA2 dihentikan

SEPANG : Kutipan yang dibuat menerusi sistem palang automatik “touch n go” yang diwujudkan di aras 1 KLIA2 kini telah dihentikan.

Ia susulan pendedahan MEDIA VARIASI mengenai kaedah samun terang-terangan golongan korporat kepada pengguna KLIA2 khususnya pemandu eHailing di mana mereka mengutip RM2 setiap kali menurunkan dan mengambil penumpang.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia, Jose Rizal berkata, pihak pengurusan terminal iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad, WCT Malls Management SB, Segi Astana SB & RA Consult Global SB telah memberikan respon tuntas berhubung isu berkenaan.

“Mereka telah menjemput kami Gabungan eHailing Malaysia bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk berbincang dan bertukar pandangan berkenaan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

“Pelbagai isu dan cadangan penyelesaian telahpun di berikan dan tindakan susulan akan di maklumkan dari masa ke semasa.

“Untuk penyelesaian jangka pendek, pihak pengurusan telah bersetuju untuk tidak mengaktifkan penggunaan palang automatik “touch n go” bermula hari ini sehingga penyelesaian menyeluruh di meterai kelak,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Semalam, Jose mempersoalkan tindakan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) yang memberi peluang kepada pihak ketiga menjana pendapatan sedangkan pelan asal yang diluluskan Kementerian Pengangkutan adalah melancarkan aliran trafik.

Dengan wujudnya palang berkenaan aliran trafik menjadi sesak dan bertentangan syarat kelulusan bangunan semasa KLIA2 dalam pembangunan.

Palang itu ditempatkan di satu-satunya lorong yang disediakan untuk kenderaan eHailing bagi menurunkan dan mengambil penumpang.

Penumpang merungut perlu menunggu lama sehingga 30 minit atau sejam untuk diambil, sedangkan dalam aplikasi di tangan kenderaan sudah tiba.

Dengan jumlah pengguna perkhidmatan eHailing melebihi 80 peratus dari perkhidmatan lain, ia tidak praktikal sedangkan di aras lain lengang dan tidak sesak.

 

Author

Pilihan Editor