HomeHiburanBekas penyanyi nasyid raih jualan produk kesihatan RM10 juta sehari

Bekas penyanyi nasyid raih jualan produk kesihatan RM10 juta sehari

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid kumpulan Saujana yang kini bergelar usahawan, Dr Idzu Baharin sebak dan tidak menjangka apabila berjaya mencatat jualan RM10 juta dalam masa sehari.

Rekod itu dicipta menerusi jualan program perkhidmatan kesihatan rawatan pemulihan menggunakan teknologi kejuruteraan tisu, Alpha Celle, Life Anew.

Dr Idzu adalah pemilik syarikat Cell Tissue Sdn Bhd atau nama sebenarnya Khairul Idzwan Baharin, 41, berkata, program berkenaan dari pemeriksaan, penjagaan, kawalan hingga rawatan.

Cell Tissue Sdn Bhd adalah syarikat kejuruteraan tisu pertama di Malaysia dan sudah tercatat dalam Malaysia Book of Record yang menghasilkan produk berasaskan sel dan tisu manusia.

“Sejujurnya, tak menjangka boleh dapat RM10 juta sehari, pada 16 Oktober lalu itu hanya pra pelancaran.

“Slot program habis terjual dan disebabkan permintaan ramai saya terpaksa buat di tempat lain.

“Lebih 100 pengunjung yang mendaftar untuk mengikuti program Alpha Cell, Life Anew. Ia membuatkan saya sebak dan betul-betul tak menjangka.

“Ia memang sambutan luar biasa. Pada mulanya memang nak buat pengenalan saja. Tapi apabila ada yang mendaftar, maksudnya masih ramai yang mementingkan kesihatan sebelum sakit,” katanya.

Menurutnya, program yang diwujudkan itu memberi nasihat merangkumi semua aspek kesihatan sebagai satu ikhtiar.

“Minta maaf cakap, dalam negara kita ramai yang bila dah sakit baru nak dapatkan rawatan. Buat pemeriksaan sangat jarang. Jadi, menerusi program ini kita sediakan semua.

“Jangan menyerah kalah, sebab kita ada teknologi untuk mencegah sebelum terjadi. Pakej ditawarkan juga murah dan dapat banyak manfaat. Kita menyediakan pusat kesihatan dan pakar untuk menjalankan program ini,” katanya.

Dalam masa sama, Idzu bakal membuat pelancaran secara rasmi dan besar-besaran program kesihatan itu dalam waktu terdekat.

“Kalau nak tahu, selepas pandemik COVID-19 ramai jatuh sakit. Sebab ketika itu duduk rumah saja, makan, dan tidak aktif.

“Jadi, itu semua beri memberikan kesan pada kesihatan. Mungkin sekarang tak rasa, akan datang tak tahu macam mana. Ketika itu mungkin sudah terlambat.

“Kita menyasarkan untuk membantu 2000 orang dengan mendaftar program ini pada 2023, sekali gus menjadikan rakyat Malaysia bebas penyakit, hidup lebih sihat dan lebih lama,” katanya.

Author

Pilihan Editor