HomeHiburanBlack Adam si penyelamat dunia tanpa takhta

Black Adam si penyelamat dunia tanpa takhta

BLACK Adam, filem terbaharu DC Films, New Line Cinema, Seven Bucks Productions dan FlynnPictureCo bukan sekadar filem hiburan semata-mata.

Lambang Segitiga Bermuda, kisah dewa bersayap, kisah iblis bertanduk, kisah manusia memiliki kuasa ‘supernatural’, kisah jampi atau mantera bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita.

Malah masyarakat khususnya daripada generasi terdahulu percaya dan yakin bahawa ada manusia dilahirkan dengan keistimewaan atau semangat luar biasa untuk membantu orang lain atau ‘penyelamat’ ketika mereka amat memerlukan.

Kisah penyelamat di Tanah Melayu sudah sinonim dengan barisan pahlawan seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Laksamana Bentan, Hang Tuah, Hang Jebat dan sebagainya, namun di Hollywood mereka ‘dijelmakan’ samada dari pasukan Marvel atau DC Comic.

Persamaan penyelamat di Tanah Melayu dan penyelamat daripada filem Hollywood ini adalah mereka hadir atau muncul ketika kejahatan, penindasan, kezaliman dan ketidakadilan undang-undang sedang berlaku melebihi had dan sempadan.

Penulis berkesempatan menonton filem Black Adam yang dilakonkan Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock yang mula ditayangkan di Malaysia pada 21 Oktober lalu.

GSC dalam rangka promosinya menaikkan poster Black Adam dengan menambah slogan yang berlatarkan sejarah gelap watak dan status anti-hero. “The World Needed A Hero, It Got Black Adam.”

Filem garapan sutradara Jaume Collet Sera ini menceritakan asal-usul karakter antihero di DC Universe, iaitu Black Adam atau Teth-Adam atau boleh dikatakan sekuel filem Shazam!

Black Adam ‘dihidupkan’ kembali selepas seorang wanita membaca satu mantera ketika nyawanya dihujung tanduk dalam misi mencari mahkota sakti yang hilang.

Black Adam dibebaskan selepas 5,000 tahun dipenjarakan, mula mendapat kuasa setelah dipindah milik oleh anaknya.

Anaknya bernama Hurut seorang budak dari Kahndaq yang mendapat kuasa supernatural para dewa Mesir untuk membebaskan rakyat Kahndaq dari kezaliman pemerintahan ketika itu.

Pada awal kisah, Black Adam dilihat satu ancaman oleh Justice Society of America namun akhirnya mereka mengakui memerlukan khidmat Black Adam bagi menentang kejahatan dan mengembalikan keamanan rakyat Kahndaq.

Barisan hero dari Justice Society of America, yang merangkumi Noah Centineo sebagai Atom Smasher, Aldis Hodge sebagai Hawkman, Quintessa Swindell sebagai Cyclone, Sarah Shahi sebagai Adrianna Tomaz atau Isis dan Pierce Brosnan sebagai Doctor Fate.

Mereka menentang watak si kitul yang bertukar watak kepada iblis bertanduk yang mahu menakluk sepenuhnya wilayah Kahndaq.

Black Adam sedar bahawa rakyat tidak mahu ‘hero’ tetapi mereka mahu ‘dibebaskan’ daripada menjadi hamba atau tertindas oleh sistem buatan manusia.

Sesungguhnya, seiring pepatah Melayu, raja dan rakyat berpisah tiada, begitu juga rakyat tidak perlukan raja, tetapi raja perlukan rakyat untuk menjadikannya raja yang adil dan saksama.

Intipati penting dalam filem Black Adam adalah kita tidak perlu ada takhta atau jawatan tertentu dalam hieraki masyarakat untuk membantu atau menjadi penyelamat orang lain.

Hanya keyakinan diri bahawa kebaikan mengatasi kejahatan dan keikhlasan akhirnya akan membawa kemenangan.

Black Adam juga sedar bahawa walaupun dia insan terpilih, memiliki kuasa tanpa batasan namun akhirnya dia tidak boleh melakukannya berseorangan.

Dia masih memerlukan sahabat yang percaya bahawa dunia akan lebih baik jika ramai yang bersatu hati menentang kejahatan dan ketidakadilan duniawi.

Author

Pilihan Editor