JOHOR BAHRU: Pemimpin UMNO yang digugurkan daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU5) seharusnya memberikan sokongan dan menggerakkan jentera membantu muka baharu memenangkan kerusi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sudah tiba masanya anggota parti yang tidak tercalon memberi ruang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Pesanan saya selaku setiausaha, dulu kita bertanding dan dulu jentera parti beri sokongan, maka sekarang giliran kita pula untuk beri sokongan kepada calon baharu.
“Sebagaimana saya sebut, yang digugurkan itu mungkin kerana ada pelbagai sebab antaranya kita ingin beri peluang kepada muka baharu di bahagian setelah sekian lama mereka berkhidmat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan dan Penyerahan Watikah Calon BN di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pontian kali keempat, turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang tidak terpilih kerana telah memberikan khidmat bakti selama ini di kawasan masing-masing.
Sementara itu, Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, orang lama perlu memberikan kerjasama dalam membantu memenangkan calon muka baharu.
“Saya telah nyatakan bahawa (perlu dibantu) calon muka baharu supaya orang lama dapat beri kerjasama, sokongan dan pastikan bahawa jentera pilihan raya berjalan lancar.
“Setakat ini, saya menerima hakikat masih ada lagi bekas calon yang mungkin sedikit kecewa atau rasa tidak setuju atas pencalonan dibuat pucuk pimpinan..tetapi saya yakin mereka akan kembali bertugas seperti biasa,” kata calon Simpang Renggam itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, bagaimanapun, penyandang Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique telah memberi jaminan bahawa perjalanan jentera masing-masing akan berjalan lancar.
Pada 1 November lepas, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tenggara, manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Tinggi. – BERNAMA