HomeBeritaPolitikDr Zulkafperi tawar formula bangun Tanjong Karang tanpa ubah identiti

Dr Zulkafperi tawar formula bangun Tanjong Karang tanpa ubah identiti

TANJONG KARANG: Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, anak penoreh getah ada formula bantu penduduk Tanjong Karang keluar dari kemiskinan.

Calon pilihan Bersatu dan PAS dari Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen P095 Tanjong Karang ini memiliki iltizam tinggi hasil pengalamannya sebagai anak penoreh dan pesawah agar kemiskinan bukan lagi halangan untuk berjaya.

Beliau yang seorang doktor berpengalaman dan bertauliah memiliki ‘preskripsi’ kehidupan untuk membantu membangunkan kawasan Parlimen tanpa mengubah identiti asalnya sebagai bandar ‘koboi’.

“Bermula dengan berjumpa pelbagai lapisan pesakit, mereka banyak luah isu kehendak yang tidak dipenuhi kerajaan dan wakil rakyat. Saya dengar kekecewaan mereka menyebabkan dorongan untuk membantu lebih banyak itu wujud.

“Saya mahu lebih ramai dapat keluar kemiskinan, bangkit dari kejatuhan dan kegelapan kepada kehidupan yang lebih baik, naluri seorang doktor yang mahu sentiasa berbakti itu tidak pernah padam,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dr Zulkafperi

Dr Dzulkaperi melalui transisi dalam politik bermula dengan UMNO pada 1990, tetapi keluar kerana tidak yakin dengan parti, sebelum membuat keputusan sertai Bersatu dan aktif sebagai Ketua Bahagian Bersatu Sg Buloh kemudian ke Tanjong Karang.

Dalam pada itu, katanya ini kali kedia diamanahkan sebagai calon di Parlimen Tanjong Karang dan berharap ada sinar kali ini.

“Tanjong Karang ini ibarat bandar koboi, cara hidup tenang cara orang kampung yang mengamit kenangan sesiapa yang bertandang.

“Ramai anak muda keluar ke bandar untuk cari rezeki.

“Jadi saya tawarkan empat formula untuk bantu rakyat iaitu membangunkan infrastruktur jalan raya daripada dua laluan kepada empat.

“Bina tebatan banjir di sungai sasaran, bina UTC di atas tapak lama hospital dan wujudkan pelancongan Agro Tourism bagi buka peluang pekerjaan, galakkan food security, saya yakin dalam lima tahun 10,000 peluang pekerjaan mampu disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau amat berharap pengundi dan bakal pengundi membuat pilihan yang bijak berdasarkan apa sumbangan yang boleh diberi bukannya ketaasuban kepada parti sahaja dan tidak membawa sebarang perubahan.

Ketika ditanya peluang menang pada PRU15, katanya peluang untuk PN lebih cerah berikutan BN belum mengumumkan calon yang sebelum ini menjadi penyandang tradisi iaitu Tan Sri Noh Omar.

Namun katanya pengundi muda kemungkinan terdorong kepada Pakatan Harapan (PH) yang memberi saingan sengit untuk PN.

“Tiga isu akan timbul, PH penipu kaki kencing, PN pengkhianat dan BN perompak, perasuah, kleptokrasi.

“Jadi buatlah pilihan yang tepat agar tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.

Menyoroti latar belakang kehidupan Dr Dzulkaperi, beliau bangkit daripada anak orang miskin yang dibesarkan dengan ibu bapa yang bercerai kasih kepada seorang figura yang berguna untuk masyarakat.

“Saya dibesarkan oleh ayah dan kakak daripada tidak pandai membaca hingga menjadi pelajar terbaik sekolah menengah, di matrikulasi, saya ambil jurusan perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia dan jadi doktor perubatan pada tahun 1985.

“Kemudian saya ditugaskan berbakti di Angkatan Tentera Malaysia dan kembali ke Hospital Kuala Lumpur, saya letak jawatan dan bekerja di Pusrawi Jalan Ipoh, buka klinik swasta Bandar Baru Sungai Buloh kini ada enam cawangan,” katanya.

Author

Pilihan Editor