SEPANG: Malaysia mencipta sejarah menjadi negara pertama di dunia menawarkan jurusan pemandu pelancong dan jemaah melalui program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawif (pemandu jemaah) Umrah dan Ziarah.
Ia disediakan oleh Kolej Antarabangsa Pembangunan Mutawif Profesional atau Professional Mutawwif Development International College (PMDIC).
Diploma terbabit merangkumi bengkel dan subjek mendedahkan pelajar kepada asas keusahawanan berbentuk perkhidmatan pakej atau produk, dengan tambahan asas bahasa Arab dan Inggeris, TITAS.
Selain itu, pelaksanaan bengkel di Tanah Suci sebelum menghadapi latihan industri pelancongan umrah dan ziarah selama empat bulan sebagai melengkapkan program pengajian.
Lebih menarik lagi, jurusan diploma pertama di Malaysia dan dunia itu diiktiraf kerana mereka mendapat pentauliahan oleh PMDIC di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Pengarah Urusan PMDIC, Abd Halim Ikhsan berkata, menjadi kebanggaan ibu bapa pelajar dan rakyat Malaysia amnya, kerana jurusan diploma kemahiran ini adalah satu-satunya jurusan pertama di Malaysia dan dunia.
Katanya, sijil diploma daripada institusi berkenaan diiktiraf dan boleh diguna pakai dalam Malaysia dan seluruh dunia.
“Saya berjuang bersama PMDIC, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), universiti awam ingin membuka peluang kepada pelajar keciciran akademik termasuk mereka yang cemerlang tahfiz.
“Kelayakan untuk kemasukan ke kolej ini, juga mereka yang boleh menulis, membaca jawi dan rumi, bahasa al-Quran, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya dua kredit, bagi yang tiada SPM, perlu melalui sesi temuduga terlebih dahulu,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.
Abdul Halim berkata, objektif program pengajian itu juga memerlukan kemahiran praktikal pelajar di lapangan kerana memenuhi syarat program Pendidikan dan Latihan & Vokasional (TVET).
“Yuran pengajian juga ditanggung PTPK termasuk kos mengikuti bengkel ke Makkah dan Madinah.
“Jadi, kita mahu pelajar yang keciciran pun merasai suasana universiti awam,” katanya yang kini mempunyai 1,000 pelajar kolej setakat ini.
Mengulas mengenai pasaran kerja bidang pemandu jemaah pelancong, katanya, skopnya sangat meluas malah amat diperlukan dalam industri khususnya bidang pelancongan.
Katanya, mengikut rekod Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia mempunyai 1,885 mutawif, angka di bawa keperluan sebenar iaitu 6,700 mutawif.
“Ada pelajar yang belum habis belajar, banyak agensi sudah mohon pada kita dan pelajar kita ada yang sudah membawa jemaah sebelum ini.
“Mutawif sangat diperlukan, kita perluaskan skop kerja, kerjaya mutawif ada empat bulan cuti dalam setahun, dan dalam tempoh itu, mereka boleh buat program pelancongan ke seluruh dunia termasuk Turki, Mesir dan Jepun,” katanya.
Pada tahun hadapan, katanya, PMDIC akan melebarkan sayapnya ke beberapa negara ASEAN seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
Terdahulu, Abd Halim mengiringi 140 pelatih dan pegawai pengiring daripada kampus Universiti Teknologi MARA (UITM) Kota Samarahan Sarawak mengikuti penerbangan sulung program ke Makkah dan Madinah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Kunjungan mereka ke negara Arab Saudi itu bagi melengkap bengkel amali program diploma terbabit.