HomeMV+PendapatPulut kuning untuk rakyat Malaysia

Pulut kuning untuk rakyat Malaysia

KEMBALIKAN setiap keraian bersama pulut kuning, lebih-lebih lagi dalam majlis terbesar menyambut kemenangan setiap perjuangan.

Umum mengetahui, pulut kuning adalah juadah istimewa dalam majlis keraian (merayakan sesuatu) seperti perkahwinan, Hari Raya, kelahiran, berkhatan dan kenduri kesyukuran.

Bagi menambah seri tampak, pulut kuning dihias indah dengan cili, telur dan dimakan bersama serunding atau rendang daging.

Kenapa pulut kuning begitu istimewa terutama dalam majlis rasmi dan mengapa ia menjadi salah satu dalam adat Melayu sejak dahulu kala dan turun temurun?

Setiap perkara yang Melayu buat bukanlah sia-sia, ada kiraannya, ada sebabnya dan ada simboliknya.

Pulut kuning asasnya, adalah beras yang dipandang sebagai tanda syukur kepada Pencipta yang mencukupkan rezeki untuk manusia meneruskan kehidupan.

Bagi yang sangat menghargai sumber makanan, makan nasi bersama ikan masin atau telur goreng kicap sahaja sudah merasa nikmat tidak terucap.

Pulut pula diperbuat daripada beras termahal, direndam bersama kunyit semalaman dan menanaknya juga bukan semudah nasi biasa, menjadikannya juadah istimewa untuk acara keraian tertentu.

Sumber lisan sejarah menceritakan bahawa pulut kuning adalah simbolik kepada penyatuan dan harapan, warna kuning pula melambangkan cahaya dan kekayaan, warna ini masih diwarisi sehingga ke hari ini sebagai kelengkapan dan adat istiadat Raja-raja Melayu.

Tekstur pulut juga kedudukan setiap butir nasinya rapat, bersatu, melekat, ibarat cubit paha kanan, paha kiri juga terasa.

Begitulah perumpamaannya kehidupan seharian kita sebagai rakyat berbilang bangsa, berbeza agama, fahaman dan ideologi mesti hidup dalam harmoni agar kemakmuran dan kestabilan dicapai bersama.

Hati pula, adalah punca segala kekuatan, keyakinan Melayu dahulu kala bahawa Tuhan Yang Esa mengatur segala dan kerana itulah mereka mampu mempertahankan Tanah Melayu, melawan berbilang penjajah dari Siam, Portugis, British, Jepun dan China sehingga beroleh keharmonian ke hari ini.

Bukan sahaja hati pemimpin, hati rakyat juga tidak boleh berbolak-balik, tidak boleh menyimpang daripada asas perjuangan untuk kepentingan bersama kerana kita hidup di bawah satu bumbung, mesti memastikan tiang seri rumah kita kukuh dan tidak dimakan anai-anai apatah lagi orang luar yang kempunan tanah sekangkang kera milik kita.

Begitulah yang dapat dilihat dalam adat perkahwinan orang Melayu dahulu kala, adat makan pulut kuning sebagai tanda penyatuan, tanda rapat-rapat bersatu teguh bercerai roboh,  mesti jadi penyapu kerana lidi sebatang kita akan mudah patah.

Rakyat telah melalui zaman derita, zaman hilang perkara-perkara yang disayangi, pasti kehidupan selepas pandemik tidak sama, namun hanya Tuhan tahu apa yang hambaNya perlukan, Tuhan tahu siapa dizalimi dan menzalimi.

Justeru, pilihlah pemimpin yang mampu meraikan rakyatnya dengan kasih sayang bak pulut kuning, tidak akan terlerai sendirian, dipandang tinggi dan sentiasa gah dimata yang lain.

Esok hari mengundi PRU15. Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti orang Melayu terbesar, dapatkah UMNO BN mengembalikan kehebatan dan menyatukan Melayu yang berpecah seribu?

Author

Pilihan Editor