TOKYO: Wilayah Wakayama Jepun memusnahkan 46,000 ekor ayam pada Rabu berikutan tercetusnya wabak selesema burung kedua peringkat tempatan pada musim luruh, lapor Sputnik.
Menurut agensi berita Kyodo, wabak penyakit itu disyaki muncul pada Selasa selepas beberapa ekor ayam ditemukan mati di sebuah ladang tempatan.
Analisis genetik mengesahkan kehadiran jenis selesema burung yang sangat patogenik pada burung yang mati, menurut media.
Kuarantin dilaksanakan ke atas pengangkutan ayam dan telur dalam radius zon 3 kilometer (1.8 batu) di sekitar pusat jangkitan. Selain itu, eksport ayam dan telur di luar zon 10 kilometer juga dilarang, lapor media itu.
Ini adalah wabak selesema burung kedua di Wilayah Wakayama musim ini. Wabak pertama penyakit itu dikesan di taman tema Adventure World yang terletak di bandar peranginan Shirahama pada 11 November, apabila ujian genetik mengesahkan kehadiran selesema burung pada itik dan emu yang mati di zoo.
Pada musim gugur ini, wabak selesema burung berlaku di wilayah Okayama, Kagawa, Miyagi, Aomori serta di pulau Hokkaido. Secara keseluruhan, kira-kira 2.6 juta ekor ayam telah dimusnahkan di negara ini sejak wabak pertama musim itu pada 28 Oktober.
Virus selesema burung cepat menular dan boleh menyebabkan influenza pada burung dan mengakibatkan kematian. Sejak musim luruh 2020 hingga musim bunga 2021, Jepun mengalami wabak influenza burung terbesar dalam sejarah negara itu. Virus itu menjejaskan lebih satu pertiga wilayah negara itu, dengan kira-kira 10 juta ayam di lebih 50 ladang dimusnahkan. – BERNAMA