KUALA LUMPUR: Organisasi dan pengamal media perlu menerima pakai perubahan dan berkembang, susulan kemajuan teknologi telah mengubah cara orang ramai berinteraksi dengan media.
Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Suffian Hadi Ayub berkata, pengguna kini bebas memilih apa yang mahu mereka lihat dengan pilihan media yang luas dan pelbagai, justeru, industri media perlu ditambah baik untuk kekal lestari.
“Komponen yang paling penting dalam komunikasi bukanlah bercakap atau menyampaikan mesej, yang paling penting ialah mendengar.
“Media perlu mendengar kehendak orang ramai sebagai penerima maklumat supaya mereka boleh mengikuti dan menghasilkan kandungan bersesuaian dengan apa yang penerima mahukan,” katanya pada seminar bertajuk “The Future of Media” (Masa Depan Media) di Institut Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) di sini hari ini.
Suffian berkata penggunaan teknologi dan aplikasi terkini juga akan membantu media arus perdana menyesuaikan kandungan dengan trend terkini seperti kandungan yang dihasilkan pengguna.
Bagaimanapun, katanya media berperanan penting dalam mendidik masyarakat menerusi mekanisme ciptaan sosial.
Beliau berkata bagi mewujudkan masyarakat holistik dan digital yang mampu menggunakan informasi secara beretika, perlu wujud satu ekosistem seimbang antara media, masyarakat dan maklumat
Sementara itu Ketua Pegawai Pemasaran BAC Education Group, Lawrence Chan berkata, literasi media sangat penting ketika ini memandangkan media baharu membolehkan pengguna memilih kandungan maklumat yang disukai mereka, masa untuk mencerna maklumat itu serta mencipta kandungan mereka sendiri.
“Kesan daripada media baharu memperkasa, namun, pada masa sama, menakutkan kerana ia memberi ancaman besar kepada penyiar dan, lebih-lebih lagi, anak muda hari ini adalah pengguna terbanyak medium ini.
“Bagi menyediakan golongan muda untuk media sosial, ibu bapa dan pendidik perlu memulakan perbualan dengan kanak-kanak tentang media sosial sejak awal. Ini akan membantu mereka memahami etika (dalam media baharu) dan membezakan apa yang nyata dan apa yang tidak di media sosial,” katanya.
Sementara itu, seminar itu turut menyaksikan pelancaran Siri Penerbitan Sidang Kemuncak Media Asia 2022 oleh AIBD, Institut Pembangunan Maklumat Masyarakat Korea (KISDI) dan Majlis Komunikasi Korea (KCC).
Seminar anjuran bersama AIBD, KISDI dan KCC itu membincangkan pelbagai cabaran dan peluang untuk industri penyiaran serantau, serta dihadiri lebih 90 pengamal media, pemain industri, ahli akademik dan pihak berkepentingan.
AIBD, sebagai badan antara kerajaan antarabangsa dengan 106 anggota, berperanan membangunkan media di rantau ini dan di seluruh dunia menerusi pembangunan dasar dan sumber. – BERNAMA