BALIK PULAU: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan enam lelaki dan dua wanita serta merampas pelbagai dadah bernilai RM31,365 dalam dua serbuan di Batu Maung, di sini 23 November lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain berkata, kesemua yang berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada 10.10 pagi selepas polis bertindak hasil maklumat dan risikan.
“Pemeriksaan di rumah menemukan 82.6 gram (g) pil ekstasi, pil eramin 5 (28 g) dan 16.5 gram ketamin. Polis seterusnya menyerbu sebuah lagi rumah di Batu Maung kira-kira dua jam kemudian dan merampas 524.9g pil ekstasi dan 112.9g pil eramin 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua dadah yang dirampas bernilai RM31,365 dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah Barat Daya.
Menurut Jafri, polis turut menyita wang tunai RM3,000, sebuah kereta Toyota Vios dan sebuah kereta Proton Gen 2 dengan keseluruhan sitaan harta serta rampasan dadah adalah RM74,365.
Katanya ujian saringan air kencing mendapati kesemua individu yang tidak bekerja itu positif terhadap dadah dan mereka direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA