MELAKA: Filem Spilt Gravy on Rice diangkat sebagai Filem Terbaik pada filem Festival Filem Malaysia (FFM) ke-32 yang berlangsung meriah malam tadi.
Filem arahan Datuk Zahim Albakri itu membawa pulang trofi di samping Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000.
Aura filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan turut membawa tuah kepada Datuk Adi Putra apabila diangkat sebagai pelakon Lelaki Terbaik.
Hero utama filem arahan Syamsul Yusof itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.
Sementara itu filem Barbarian Invasion membawa tuah kepada Tan Chui Mui apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Terdahulu, detik gemilang FFM-32 kali ini lebih istimewa apabila buat julung kalinya dianjurkan di luar Lembah Klang.
Berlokasi di pentas berprestij, Encore Melaka, 22 kategori dipertandingkan pada festival kali ini dengan pemenang bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 hingga RM15,000.
Mengangkat tema Filem Kita, Citra Kita, FFM-32 menyaksikan persaingan filem-filem yang ditayangkan dari 15 Julai 2021 hingga 30 September lepas, dipertandingkan dalam 22 kategori kali ini.
Turut memeriahkan detik gemilang penggiat filem negara adalah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim.- BERNAMA