HomeBeritaMU Raja kecewa agihan jawatan Menteri tidak adil

MU Raja kecewa agihan jawatan Menteri tidak adil

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Pusat Parti Bersatu, MU Raja mempersoalkan cara agihan jawatan Menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak adil.

Bekas pemimpin PKR itu mempersoalkan kenapa tiada seorang pun wakil berbangsa India dari PKR yang telah menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilantik sebagai Menteri.

“Hanya Sivakumar Varatharaju dari DAP telah dilantik menjadi Menteri Sumber Manusia (KSM).

“Saya cukup pelik kerana masyarakat India telah banyak mengundi Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR sebaliknya juga memiliki pemimpin dan ahli yang ramai dalam komuniti itu.

“Jika anda tengok sendiri dalam laman sosial, dari tadi dibanjiri dengan persoalan mengapa tiada wakil pemimpin India?

“Ini kerana pada awalnya nama Sivakumar tercicir ketika Anwar membuat pengumuman. Tetapi walaupun selepas senarai nama yang tertera nama Sivakumar dikeluarkan, ramai masih kecewa.

“Dalam PKR sendiri ramai pemimpin India yang layak diangkat menjadi Menteri penuh untuk menjaga hal ehwal komuniti ini, mengapa langsung tidak diberi peluang? Yang berikan kemenangan ini kepada PH juga datangnya dari undi kaum India. Hampir 90 peratus.

“Langsung tidak faham, tolonglah fahamkan konsep kerajaan perpaduan ini. Kerajaan sebelum-sebelum ini sekurang-kurangnya walaupun gabungan tetap memiliki pemimpin dalam kalangan kaum masing-masing. Saya tidak bercakap tentang jawatan Timbalan Menteri tetapi jawatan Menteri.

“Bukan hendak bersikap perkauman tetapi rasanya ini memang tidak adil langsung,” katanya.

Azizi Safar

Dalam pada itu, pemerhati politik, Azizi Safar turut melahirkan persoalan mengapa tidak ada wakil MCA atau MIC dalam pengumuman semalam.

“Enam orang Menteri dari BN dalam kabinet kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim tetapi tiada wakil MCA atau MIC.

“Kenapa? Hanya seorang sahaja Menteri wakili kaum India dalam kabinet, itu pun Anwar tidak sebut semasa pengumuman. Macam tak lama sahaja jangka hayat Kabinet ini,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Seorang sumber tertinggi PH mendedahkan untuk jawatan Timbalan Menteri sememangnya sudah ada beberapa wakil dalam kalangan kaum India dan akan diumumkan kelak.

“Memang ada beberapa nama yang akan dilantik untuk jawatan Timbalan Menteri. Semoga bersabar,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor