KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan diharap akan memberi peluang sama rata kepada orang kurang upaya (OKU) di negara ini untuk mendapatkan pendidikan tinggi dan pekerjaan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan itu, kata Senator, Datuk Ras Adiba Radzi.
Presiden Persatuan OKU Sentral itu juga berkata, persepsi dan pemikiran segelintir masyarakat yang cenderung mendiskriminasi golongan OKU juga harus diubah.
“Jangan diskriminasi kami kerana keadaan fizikal dan keadaan kurang upaya kami.
“Saya harap Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan beri kami (OKU) sokongan yang diperlukan agar komuniti (OKU) terus diperkasa dan diberi hak yang saksama,” katanya pada sambutan Hari OKU Antarabangsa 2022 Yayasan Sime Darby dekat sini baru-baru ini.
Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata demikian ketika ditanya mengenai harapannya tentang perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Perpaduan untuk golongan OKU sempena Hari OKU Antarabangsa kali ini.
Hari OKU Antarabangsa disambut pada 3 Dis setiap tahun.
Ras Adiba juga berharap institusi pengajian tinggi di seluruh negara dapat memberikan perhatian kepada keperluan dan kemudahan untuk OKU bagi memastikan golongan itu turut sama menikmati pendidikan tinggi yang berkualiti. – BERNAMA