HomeBeritaSi penuduh tohmahan kini telan ludah sendiri - Nik Abduh

Si penuduh tohmahan kini telan ludah sendiri – Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Mungkin sudah jelak, muak dengan pelbagai tohmahan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohamad Abduh tampil menulis di laman Facebooknya.

Beliau berpendapat mengkritik kerajaan secara lembut atau keras, kedua-duanya adalah dibenarkan oleh syarak dalam ruang dan sempadannya selagi mana ia mengikut fakta dan akhlak.

“Namun, tohmahan, tuduhan, persepsi dan gelaran buruk yang direka-reka ke atas lawan, walaupun mudah membuahkan sokongan, undi, bahkan kemenangan.

“Hakikatnya ia petunjuk awal daripada Allah bahawa si penuduh itulah yang nantinya akan menelan ludahnya sendiri.

“Siapa menggali lubang, dia sendiri akan jatuh di lubang itu.

“Kita sering menyaksikannya dalam politik negara kita sedari dulu hingga kini. Ia tanda tidak sihat. Parti mana yang berjaya menjauhinya, ia akan lebih kekal dan berjaya.

“Kewajiban umat adalah bersatu menjaga keharmonian negara.

“Tiada erti keharmonian jika agama Islam tidak dijaga dan dipertahankan. Ia retak menanti belah,” tulisnya semalam.

Pelbagai reaksi diberi netizen dan ada yang berpendapat Perikatan Nasional (PN) dilihat berlebih-lebihan menyerang peribadi Presiden UMNO walaupun pertuduhannya ke atasnya tidak melibatkan wang perbendaharaan negara.

“Ia melibatkan dana Yayasan Akal Budi iaitu duit beliau, keluarganya dan para pendana politiknya. Digunakan untuk membiayai ratusan sekolah tahfiz, pembinaan masjid dan kebajikan.

“Namun, lebih mengejutkan tuduhan dan gelaran yg diberikan kepadanya daripada golongan bertaraf tok guru dan Pak Syeikh. Sama naik bermain politik menghalalkan cara, tidak tunjuk teladan baik kepada anak-anak, ” katanya.

Author

Pilihan Editor