HomeBeritaKabinet Kerajaan Perpaduan elak 'kartel' rosakkan kestabilan politik dalaman parti - Fahmi

Kabinet Kerajaan Perpaduan elak ‘kartel’ rosakkan kestabilan politik dalaman parti – Fahmi

CYBERJAYA: Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian bagi menjawab kritikan Muhyiddin terhadap jemaah menteri kerajaan baharu dan tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melantik sesiapa yang diingini memandangkan ini bukan kerajaan PH.

“Ini adalah sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan jemaah menteri.

“Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan jemaah menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti.

“Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok kartel dalam parti dipersenjatakan lalu mewujudkan keadaan ‘parti dalam parti’ yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti,” jelas Fahmi dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Perpaduan dibentuk berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini dan menginsafi apa yang pernah terjadi.

Kata Fahmi, Perdana Menteri dan ketua parti serta gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan ini telah bersetuju bahawa senarai calon jemaah menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.

“Penting saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes,” tegas Fahmi.

Fahmi turut menggesa agar Muhyiddin menghentikan serangan polemik yang mengeruhkan dan cuba mengelirukan rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa Muhyiddin mempunyai banyak isu yang perlu diteliti dan ditelusuri, termasuk isu 1BestariNet dan isu dana RM500 bilion yang dikatakan dibelanjakan sewaktu tempoh pandemik.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, Anwar telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila melantik kleptokrat menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Tambahnya, barisan Kabinet itu paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,” kata Muhyiddin.

Author

Pilihan Editor