HomeBeritaPolitikSaya akan jumpa Tuan Ibrahim di mahkamah - Rafizi Ramli

Saya akan jumpa Tuan Ibrahim di mahkamah – Rafizi Ramli

PUTRAJAYA: “Kami dah fail di mahkamah dan saya akan jumpa beliau (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) di mahkamah.”

Demikian jawapan ringkas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli ketika ditanya mengenai tuntutan saman difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya.

Merujuk jawapan tersebut, Ahli Parlimen Pandan itu tidak akan memohon maaf susulan kenyataannya sebelum ini berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

18 November lalu, media melaporkan Tuan Ibrahim telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Rafizi.

Menerusi satu kenyataan sehari sebelumnya, Tuan Ibrahim menyatakan writ itu difailkan pada petang Khamis melalui peguamnya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, lapor Astro Awani.

Menurutnya lagi, notis tuntutan telah dihantar kepada Rafizi pada 10 November lalu, susulan kenyataannya yang didakwa tidak bertanggungjawab dan memfitnah beliau.

Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden PAS itu berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas hanya memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberi terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Author

Pilihan Editor