KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat Ahli Parlimen di bawah gabungan itu, yang bertindak keluar daripada parti Bersatu, tidak akan terjejas dengan undang-undang anti lompat parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, GRS dan empat Ahli Parlimennya menyedari sepenuhnya mengenai undang-undang antilompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Okt lalu sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Mereka (Ahli Parlimen berkenaan) akan memaklumkan Speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).
Kelmarin, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS.
GRS sebelum ini terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bergabung dengan Barisan nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan negeri itu. – BERNAMA